Abuya Ashaari Muhammad di Umur Satu Hari

Diceritakan oleh Zaleha Mohamad, adik seayah Abu-ya Ashaari Muhammad bahawa pada 30 Oktober 1937, hari lahirnya Abuya Ashaari Muhammad, ayahnya Muhammad bermimpi.

Mimpinya itu terjadi di waktu dia tertidur di kerusi pejabat kastam di Lubok Cina ketika bertugas shift malam. Kerana dirasakan bermaknanya mimpi itu, ketika keluar dari pejabat kastamnya pada pukul satu pagi dengan basikalnya, dia tidak terus balik ke rumah. Sebaliknya dia singgah di surau gurunya, Kiyai Syahid, menunggu Subuh untuk merujuk mimpinya itu.

Maka selepas sembahyang Subuh, dia bertemu Kiyai Syahid. Diceritakanlah mimpi itu kepada kiyai yang bertaraf khalifah dalam jemaah Sayidi Syeikh Suhaimi itu.

“Saya melihat dalam mimpi, seorang bayi iaitu anak saya sendiri, berlumba berenang dengan saya dalam lautan yang luas. Didapati anak itu berenang laju dan merentas laut sedangkan saya tak mampu mengejarnya.”

Maka Kiyai Syahid pun memberi respond: “Sebenarnya Maimunah isteri engkau sudah melahirkan anak lelaki, waktu engkau di pejabat malam tadi. Berilah namanya Ashaari bin Muhammad.”

Kiyai Syahid adalah seorang ulama yang berasal dari Indonesia. Berguru dengan seorang soleh yang bila dia menulis ada cahaya di jarinya. Namun bila dia berhijrah ke Malaysia, bertemu dengan Sayidi Syeikh Suhaimi, dia belajar dan berkhidmat dengannya selama 20 tahun.

Orang sealim itu, akhirnya ditugaskan oleh Syeikh Suhaimi berjuang di pedalaman Rembau, Negeri Sembilan iaitu Kampung Pilin.

Bersama dengan Lebai Ibrahim (iaitu abang iparnya sebab Kiyai Syahid berkahwin dengan adiknya) ikut pindah ke Pilin maka terbangunlah jemaah Muhammadiah di kampung di tengah hutan itu. Penduduknya kebanyakan orang Melayu yang hidupnya macam orang asli, tidak sembahyang dan miskin.

Dengan perancangan Kiyai Syahidlah akhirnya Muhammad dan Maimunah dikahwinkan di Pilin. Muhammad yang berasal dari Segambut telah berpindah kerja kastam ke Lubok Cina dan memilih untuk berguru dengan Kiyai Syahid serta terus tinggal di Pilin.

Lebai Ibrahim pula mempunyai seorang adik perempuan janda, baru kematian suami, beranak dua, yang tinggal di Melaka. Mereka ialah sepupu kepada Syeikh Suhaimi. Waktu kecilnya Maimunah memang tinggal serumah dengan Sayidi Syeikh Suhaimi di Klang bahkan selalu didoakan oleh Syeikh Aurad Muhammadiah itu. Doa agar darinya lahir penyambung perjuangan. Memang Sayidi ada memberitahu orang-orangnya, bahawa akan lahir dari keluarganya seorang yang akan menjadi penyambung perjuangannya.

Lebai Ibrahim telah memanggil Maimunah ke Pilin bilamana dipersetujui oleh Kiyai Syahid agar Muhammad dikahwinkan dengan Maimunah.

Sewaktu Kiyai Syahid menyatakan hasrat kepada Muhammad agar sudi mengahwini Maimunah, janda beranak dua itu, Muhammad terkejut.

Terkejut kerana teringatkan pesanan ayahnya (yang juga anak murid Sayidi Syeikh Suhaimi) sewaktu dia kecil lagi, “Mad, engkau nanti kalau nak kahwin, carilah belahan dari Sayidi Syeikh Suhaimi.”

Jadi mengenangkan pesanan itulah, maka harapan Kiyai Syahid ditunaikannya. Walhal sebagai pegawai kastam waktu itu Muhammad cukup mudah untuk mendapat gadis-gadis istimewa sebagai isterinya. Seelok dinikahkan Muhammad sekali lagi terkejut kerana isterinya itu pernah dilihat dalam mimpinya sebagai isteri.
Diceritakan lagi oleh ayah Abuya Ashaari Muhammad kepada Zaleha bahawa di Pilin itu ahli-ahli jemaah Muhammadiah itu selalu berbisik sesama mereka, perihal cerita akan lahirnya seorang yang bernama Ashaari bin Muhammad. Ini kerana Kiyai Syahid memang pernah mendengar dari Sayidi Syeikh Suhaimi (Kiyai Agung) sebelum dighaibkan bahawa orang yang akan menyambung perjuangannya bila dia ghaib ialah Ashaari bin Muhammad. Jadi bilamana Maimunah mengandung, orang menunggu-nunggu kelahiran anak Muhammad itu.

Cerita sejarah ini jadi lebih menarik lagi bilamana samasama mengandung waktu itu ialah isteri kepada seorang lagi yang bernama Muhammad, iaitu abang Maimunah sendiri yang bermastautin di Lubok Cina waktu itu. Jadi orang menunggu-nunggulah anak dari Muhammad yang mana satu yang akan jadi Ashaari bin Muhammad itu. Anak Maimunah atau anak abangnya?

Maka mimpi suami Maimunah tadilah yang jadi penentu. Kiyai Syahid yang memutuskan bahawa anak Maimunah adalah Ashaari itu.

Maka bilamana lahir pula anak lelaki Muhammad, anak abang Maimunah, diberi nama oleh Kiyai Syahid sebagai Abdul Wahab, sepupu Abuya Ashaari Muhammad yang akhirnya menjadi adik iparnya kerana berkahwin dengan adik Abuya Ashaari Muhammad. Mereka kahwin sepupu.

Menurut cerita Abdul Wahab, dia mendengar dari ayahnya, bahawa pada mulanya Kiyai Syahid menamakannya Haris. Dengan harapan dia akan jadi Haris Harras, yang disebutkan Hadis sebagai ‘lelaki di belakang sungai’, yang akan jadi pembantu kuat kepada Putera Bani Tamim. Kebetulan di belakang rumah itu ada sungai. Tapi kerana dia bukan orangnya, kata Wahab, maka dengan nama itu dia selalu sakit-sakit lalu ditukarlah nama kepada Abdul Wahab.

Tertera kepada kita bahawa sejarah ini sudah dibualkan orang-orang zamannya. Pilin bagaikan sebuah institusi atau pusat perancangan yang mencipta kelahiran dan perjuangan Islam yang disebut Hadis. Sepatutnya cerita-cerita ini sudah lenyap bersama lenyapnya orang-orang itu. Tapi aneh, cerita itu kekal bersambung oleh generasi baru dan tetap relevan.

Sebenarnya semua cerita sejarah di atas sangat dirahsiakan dari Abuya oleh siapa sahaja yang menjaganya waktu itu. Hinggalah pada suatu hari ketika umurnya 47 tahun, bertempat di Masjid Lembah Pantai, Universiti Malaya, dia didatangi oleh Embah Mahmud, seorang yang tidak pernah dikenali sebelumnya. Selesai sembahyang Isyak bersama jemaah yang memenuhi masjid itu, waktu bersiap-siap untuk memberi kuliah, tiba-tiba seorang lelaki tua menyembamkan wajahnya selama sepuluh minit ke pangkuan Abuya dan menangis teresak-esak. Malu dengan kejadian itu di hadapan jemaah, Abuya minta Embah menunggu sehingga selesai program kuliah Abuya itu.

Maka selesai sahaja kuliah, secara empat mata Embah bercerita, “Saya mencari kamu sudah 60 tahun. Waktu kamu dalam PAS, saya perhatikan kamu perjuangkan politik, bukan jemaah tarekat. Saya tanyakan hal itu kepada Sayidi Syeikh Suhaimi ‘di balik tabir’. Kata beliau, ‘Tunggulah lagi’.”

“Kenalah saya menunggu dan mencari hinggalah umur saya sudah 80 tahun. Menunggunya 60 tahun lamanya. Hari inilah paling sejarah dalam hidup saya. Penantian selama 60 tahun sudah selesai. Benarlah kata-kata Sayidi Syeikh Suhaimi 60 tahun lalu bahawa perjuangannya disambung oleh Ashaari Muhammad.”

Abuya tanya asal usul cerita itu, maka Embah menjelaskan: “60 tahun yang lalu, bertempat di Johor, saya berada di Majlis Sayidi Syeikh Suhaimi bersama 9 orang. Orang lain semuanya sudah tua dan saya paling muda. Masa itu umur saya dua puluh tahun. Di majlis itu seseorang bertanya kepada Sayidi Syeikh Suhaimi, apakah benar tuan Imam Mahdi? Sayidi Syeikh Suhaimi bertafakur 15 minit dan kemudian angkat kepala lalu menjawab, “Ya, saya Imam Mahdi.”
Suasana waktu itu, Sayidi Syeikh Suhaimi sudah begitu dicurigai oleh penjajah kerana pengaruh dan kekuatannya di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Jadi majlis itu memikirkan bagaimana untuk Sayidi selamat dari dibunuh oleh British. Kata Sayidi Syeikh Suhaimi, “Insya-Allah saya akan dighaibkan Allah, tapi kalau hilang begitu sahaja, sedangkan saya begitu terkenal, akan jadi masalah. Maka Allah izinkan saya untuk dilihat seperti meninggal dunia walhal saya dighaibkan Allah.”

Sayidi Syeikh Suhaimi menyambung lagi, “Perjuangan saya ini akan jadi seperti anak ayam kehilangan ibu waktu ketiadaan saya, tapi nanti ia akan bersambung oleh seorang bernama Ashaari Muhammad.” Sewaktu menyebut nama itu Sayidi Syeikh Suhaimi telah menepuk bahu Embah Mahmud dan berkata, “Kamu akan jumpa dia, Mud.”

Kerana besarnya peristiwa dan kata-kata itu, Embah Mahmud mencatat dan berazam akan membuktikan kebenarannya. Lalu pada hari itu dalam tahun 80-an, kata-kata itu terbukti.
Abuya dan Sayidi Syeikh Suhaimi tidak pernah bertemu. Yang menghairankan ialah bagaimana dua orang yang tidak pernah bertemu tapi boleh mempunyai perjuangan yang satu. Walhal tiada siapa mengajar Abuya tentang kaedah perjuangan yang dipilihnya. Hal ini juga menjadi bukti benarnya cerita ini.

Memang kata Embah Mahmud, apa yang dibuat oleh Abuya seperti menyalin kerja-kerja Sayidi Syeikh Suhaimi. Yakni berjuang menegakkan Islam atas konsep jemaah. Bukan bentuk madrasah atau pondok atau pesantren atau parti atau badan-badan persatuan Islam. Tidak juga seperti jemaah masjid atau Tabligh.

Jemaahnya lain dari yang lain. Berani saya mengatakan dia berjaya menyalin kaedah yang dibuat oleh Rasulullah. Iaitu bermula dari seorang diri. Mengumpul keahlian seorang demi seorang. Dia menjadi guru dan pemimpin tanpa mesyuarat agung dan tanpa ajak-ajak sebab orang-orang yang datang mengikutnya bukan untuk berpersatuan tapi untuk membaiki diri. Begitulah kemampuannya yang orang tahu.

Diajaklah sama seluruh keluarga dari individu itu agar sama-sama membaiki diri hingga jadilah sebuah keluarga yang mengamalkan cara hidup Islam. Hasil daripada keluargakeluarga Islam yang terbentuk ini, maka gabungannya itu jadilah jemaah Islam.

Mereka berkumpul dan beraktiviti mempraktikkan Islam bukan di sekolah, pondok atau pejabat-pejabat, tapi di kompleks-kompleks penempatan dalam kegiatan-kegiatan hidup harian yang semuanya dipraktikkan atas landasan Al Quran dan Sunnah. Islam syumul itu diperjuangkan dalam keluarga dan masyarakatnya, dalam kehidupan harian.

Hasil pengajian-pengajian, mereka membaiki diri dan sekaligus melakukan langkah-langkah praktikal untuk melaksanakan kehidupan Islam di dalam diri dan keluarga di semua aspeknya. Itulah jemaah yang mana Sayidi mengajar Abuya dari balik tabir (tanpa bertemu) demi menyambung perjuangannya.

Semua kisah ini terangkum dalam isyarat yang Allah SWT takdirkan melalui mimpi ayahnya, di hari lahir Abuya. Dia seorang bayi mampu menguasai lautan sedangkan si ayah, seorang dewasa gagal melakukannya. Manusia tidak akan mampu untuk menguasai lautan kalau dengan kekuatan ļ¬zikal semata-mata. Ia memerlukan kekuatan roh. Kalau lautan ibarat ilmu, maka seluruh ilmu itu hanya mampu diperolehi dengan sokongan Tuhan melalui kemampuan roh. Kalau lautan diibarat kekayaan, maka orang yang menguasai semuanya adalah orang yang sangat bertaqwa seperti Rasulullah dan Khulafaur Rasyidin, yakni dengan pertolongan Allah. Kalaulah pula laut itu ibarat gelanggang perjuangan, maka menguasai dan memenanginya tidak mungkin oleh orang Islam biasa tetapi mestilah Islam yang di belakangnya adalah Allah dan Rasul.

Beginilah Abuya Ashaari Muhammad diperkenalkan Tuhan kepada dunia di hari lahirnya.

No comments: