Rumah Tangga Abuya

Abuya adalah seorang pemimpin Islam yang terkenal namun di kalangan seluruh pemimpin itu, Abuya memang lain dari yang lain. Beliau pernah berkahwin dengan 5 orang wanita atau isteri. Tapi sejak berumur 47 tahun beliau mempunyai 4 orang isteri serentak. Tapi sejak umur 66, yang tinggal hanya 3 orang isteri.

Isteri pertama, dikahwini pada tahun 1957, ketika umurnya 20 tahun.
Isteri kedua, dikahwini pada tahun 1977, ketika umurnya 40 tahun.
Isteri ketiga, dikahwini pada tahun 1980, ketika berumur 42 tahun.
Isteri keempat, dikahwini pada tahun 1981, ketika umurnya 43 tahun.

Bila berpisah dengan isteri pertama pada tahun 1985, Abuya berkahwin satu lagi pada tahun 1987 di umur 49 tahun.
Dengan isteri seramai itu beliau direzekikan anak seramai 34 orang.
Isteri pertama: 12 orang anak
Isteri kedua: 11 orang anak
Isteri ketiga: Tiada anak
Isteri keempat: 8 orang anak
Isteri kelima: 3 orang anak

Abuya mempunyai 4 orang anak tiri (dengan isteri terakhir). Hingga tahun 2006 ini, seramai 17 orang anak sudah berumah tangga dan 13 darinya berpoligami. Ada menantunya orang Arab, Indonesia, Thailand dan Melayu. Bilangan menantu semuanya sebanyak 33 orang. Cucu pula 180 orang. Semua anak cucunya ikut perjuangannya. Semua anak cucunya bersekolah dengan sekolahnya. Semua anak cucunya bekerja dengan jemaahnya. Abuya ada dua orang cicit waktu ini yang masih kecil.

Anak-anak yang dididiknya itu sudah ramai yang bekerja. Ada yang bekerja sambil belajar. Empat orang anak lelakinya jadi pemimpin penting dalam syarikat atau jemaahnya. Enam orang jadi pensyarah dan guru dalam perjuangan. Lima orang jadi usahawan. Tiga orang jadi komposer dan empat orang mempunyai kumpulan nasyid sendiri, iaitu kumpulan Mawaddah dan Remaja Harapan, dua orang menjadi pemain dram yang mahir.

Sepuluh orang anak dan cucunya sedang belajar di luar negara, iaitu di Jordan dan Syria. Waktu ditulis ini, tujuh orang anak dan seorang cucu sedang berada di Jerman untuk promosi kumpulan nasyid mereka dan bercuti sambil belajar ke Eropah, Perancis dan Holland.

Poligami bukanlah cita-cita Abuya dan memang tidak pernah terfikir pun untuk mempunyai keluarga besar poligami. Ia baru berlaku bilamana Abuya menjadi pemimpin jemaah Islam. Ramai pengikut lelaki dan perempuan yang bersedia setia sehidup semati dengannya.

Maka pada tahun 1978, seorang orang kanan jemaah mencadangkan Abuya mengahwini seorang perempuan berumur 22 tahun yang begitu taat mengikut Abuya dan sanggup berpoligami dengan Abuya. Ahli jemaah pula meminta Abuya sebagai pemimpin nombor satu memulakan. Hasil berbincang dengan isteri pertama, maka persetujuan diperolehi untuk berpoligami.

Walaupun begitu, Abuya sendiri bimbang untuk melakukannya. Memang bukan kemahuannya. Semua isteri-isterinya itu bukan pilihan Abuya tetapi semuanya dicadangkan oleh kawan-kawan sejemaah dengan persetujuan perempuan-perempuan berkenaan. Abuya tinggal terima atau tidak sahaja.

Sungguh mengejutkan, ramai wanita-wanita yang mudamuda, perawan, cantik, lulusan tinggi yang bersedia bahkan ingin untuk berkahwin dengan Abuya dengan tujuan:

1 Mendapat didikan langsung untuk iman dan Islam.
2 Menumpang hidup dalam keluarga yang benar-benar mempraktikkan cara hidup Islam.
3 Mendapat zuriat dari orang soleh.
4 Mendapat berkat hidup dunia dan Akhirat.

Sekalipun terpaksa berkongsi hidup duniawi dalam semua hal, tapi wanita-wanita itu menganggap semua risikonya kecil dibanding keuntungan dunia Akhirat yang akan diperolehi.

Memang Abuya terpaksa menceraikan isteri pertamanya. Kata Abuya, ketika melafazkan talak satu, beliau merasa seperti nyawa akan tercabut sebab mengenangkan anak-anak. Ketika wakil anak-anak menyatakan mereka malu dengan apa yang berlaku. Abuya menjawab, “Kamu malu 20% sedangkan Abuya malu 100%.” Beberapa kali Abuya menyatakan hasrat untuk merujuk kembali tapi usaha itu tidak berhasil kerana bekas isterinya tetap tidak berubah.

Namun Abuya sangat bersyukur, semua anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu dari isteri yang diceraikan itu taat dengan Abuya. Semuanya ikut perjuangan Abuya dan tetap yakin dan menyokong Abuya dalam tindakan dan arahan Abuya. Manakala dengan ibu mereka tetaplah mereka berbuat baik, doakan dan layan keperluannya atas arahan Abuya.

Isteri-isteri Abuya kini tiga orang setelah seorang daripadanya meninggal di Mekah dan dimakamkan di tanah perkuburan yang sama dengan makam isteri Rasulullah iaitu di Makam Baqi’.

Bukan senang untuk buatkan isteri-isteri saling berbaikbaik macam adik-beradik, saling mendoakan, bekerjasama dan bela-membela. Bukan senang juga untuk anak-anak sangat taat dan menghiburkan ibu bapa, dapat berkasih sayang sesama mereka, sefahaman dan rasa bersama.

Demikian juga menantu-menantu dan cucu-cucu yang begitu ramai. Bukan senang untuk diikat. Tapi alhamdulillah, Abuya berjaya melakukan semua keajaiban itu. Apakah rahsia Abuya mampu melepasi halangan getir ini? Itulah yang sangat ditanyakan orang.

Sebenarnya bila sudah ada seorang pemimpin yang Allah takdirkan boleh lakukan yang demikian itu, itulah tandanya pemimpin itu dilantik Tuhan untuk zamannya. Abuyalah orangnya. Beliau datang di awal kurun hijrah. Umat Islam patutnya mencari, mendatangi, berbaiah dan taat padanya. Itulah maksud Rasulullah dalam Hadis berikut:

Maksudnya: Dari Abi Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Allah akan mengutuskan di setiap awal kurun (setiap 100 tahun) seorang mujaddid yang akan memperbaharui agama-Nya.” (Riwayat Abu Daud)

Dialah penyelamat zaman yang umat wajib mendapatkannya kalau mahu selamat. Tidak cukup kalau setakat menerima ilmu dan kaedah darinya tanpa menerima orangnya.

Keselamatan dunia dan Akhirat bagi seseorang ialah bilamana dia melepasi dua baiah. Baiah pertama ialah mengucap dua kalimah syahadah. Baiah kedua ialah menerima dan taatkan pemimpin yang dijanjikan yang ditunjuk Tuhan serta mampu merealisasikan dan mengukuhkan baiah pertama.

Pemimpin dunia yang tiada kebolehan untuk menanam cinta Allah dan Rasul ke hati manusia, membesarkan dunia lebih dari Akhirat, sebenarnya mereka bukanlah orangnya yang Allah perintahkan untuk diberi ketaatan. Sebab mereka itu tidak mampu membuatkan manusia dapat menjadikan hidup dan mati mereka semata-mata kerana Allah.

Abuya berusaha sedaya upaya agar keluarga besarnya dapat diberi iman yakni dapat cinta Tuhan, besarkan Akhirat dan patuh dengan syariat Allah. Untuk itu Abuya tidak mewahkan atau kayakan mereka dengan harta dunia. Mereka juga hidup berdikari tanpa makan gaji. Dididik dengan ilmu, iman dan Islam. Diasuh hidup atas moto: ‘Hidup untuk Tuhan’. Ditatih berjuang membangunkan fardhu ain dan kifayah. Maka keluarga Abuya kini bagaikan sebuah etnik baru, empayar Melayu baru yang berwibawa menjadi asas kepada kebangkitan Islam semula. Bukan hanya untuk Rufaqa’, tapi juga untuk bangsa Melayu seluruhnya.

Kelompok Bani Tamim ini kelihatan mampu menerajui sebuah kebangkitan Melayu atas nama Islam. Disokong oleh kelompok dari beberapa lagi Bani yang dicetuskan oleh Abuya. Moga-moga Allah akan menunaikan janji-Nya: “Bahawa Dia akan menggantikan sesuatu kaum dengan kaum lain yang mereka itu cintakan Allah dan Allah pun cintakan mereka.”

Abuya menjadi suami dan bapa yang mampu menyusun keluarganya begitu sekali. Penuh keadilan, kasih sayang, tanggungjawab atas nama Allah dan Rasul untuk kepentingan Akhirat dan dunia. Memang suatu pencapaian paling ajaib.

Dengan ini Abuya berjaya meletakkan namanya dalam senarai teratas di kalangan pemimpin dunia Islam sebagai suami dan bapa contoh. Inilah modal yang Allah dan Rasul berikan kepada Bani Hasyim dan kaum Quraisy yang menjadikan akhirnya semua etnik Arab menyerah kepimpinan kepada mereka.

Lihatlah struktur Bani Tamim yang dicetuskan oleh Abuya.

A. Bani Tamim yang terdiri dari Abuya dan tiga isteri dengan 20 anak-anak yang belum berkahwin.
1 Fakhrurrazi dengan 4 isteri dan 21 anak.
2 Nizamuddin dengan 4 isteri dan 23 anak.
3 Nasrullah dengan 4 isteri dan 23 anak.
4 In’amullah dengan 4 isteri dan 11 anak.
5 Ikramullah dengan 4 isteri dan 10 anak.
6 Mujahid dengan 3 isteri dan 6 anak.
7 Usamah dengan 2 isteri dan 11 anak.
8 Abu Ubaidah dengan 2 isteri dan 3 anak.

B. Menantu-menantu Abuya:
1 Muhammad Abu Bakar dengan 4 isteri dan 28 anak.
2 Khairel Anuar Ujang dengan 3 isteri dan 10 anak.
3 Lokman Hakim dengan 4 isteri dan 15 anak.

C. Adik:
1. Hashim Mohamad dengan 4 isteri dan 5 anak. Keluarga-keluarga yang lain:
D. Bani Idrisi (Zulkifli Awang Kecik) dengan 4 isteri dan 18 anak.
E. Bani Abu Bakar (Hashim Jaafar) dengan 4 isteri dan 20 anak.
F. Bani Yusuf (Dr. Abdurrahman) dengan 4 isteri dan 4 anak.
G. Bani Meon (Abu Zarin Taharem) dengan 4 isteri dan 29 anak.
H. Bani Abdur Rahman (Rashidi Abdullah) dengan 4 isteri dan 20 anak.
I. Bani Siraj (Abdullah Ali) dengan 3 isteri dan 17 anak.
J. Bani Jaisi (Zaini Othman) dengan 2 isteri dan 8 anak.
K. Bani Ahmad (Ahmad Zahari) dengan 2 isteri dan 18 anak.
L. Bani Mat Wali (Zamri Azhar) dengan 2 isteri dan 4 anak.
M. Bani Mahmud (Nasarudin) dengan 2 isteri dan 6 anak.
N. Bani Adami (Tengku A. Rahman) dengan 4 isteri dan 8 anak.
O. Bani Shafie (Taufik Mustofa) dengan 4 isteri dan 10 anak.

Biasanya manusia sangat bimbangkan soal rezeki bilamana bercakap tentang keluarga besar. Lalu Abuya menjawab persoalan rumit ini dengan kenyataan bahawa hidupnya sekeluarga bagaikan orang yang kaya-raya. Ini adalah kerana Abuya memulakan perjuangannya dengan mengambil tiga asas kekuatan iaitu iman, ukhwah dan keselarasan.

Allah dan Rasul memang suka dan bangga dengan keluarga besar. Allah tentu menolong projek ini. Tentu ada peruntukan yang secukupnya oleh Allah demi membantu mana-mana individu dan jemaah yang melaksanakan projek Tuhan. Tuhan Allah itu Maha Kaya. Semua orang-orang kaya dan bank-bank dunia adalah milik Allah. Seseorang yang miskin adalah kerana Allah yang memiskinkannya. Orang yang kaya, Allah juga yang kayakannya. Dalam sekelip mata pun Allah mampu miskinkan orang kaya atau kayakan orang miskin.

Abuya sangat rapat dengan Allah dan sangat mengusahakan iman dan taqwa. Allah pula berjanji menolong orang yang bertaqwa. Maka kaya-rayanya Abuya dengan keluarga besarnya itu adalah kejadian ajaib yang Allah lakukan padanya. Wang itu datang bukan dari perniagaan. Perniagaan fardhu kifayahnya itu pun berlaku hasil wang pemberian Allah.

Allah rezekikan ‘power’ pada Abuya yang dengan ‘power’ itu Abuya panggil duit, maka duit datang. Abuya panggil ilmu, ilmu datang. Apalagilah keperluan Abuya, semua Allah rezekikan dengan sebab-sebab adanya ‘power’ yang Allah bekalkan itu. Umat Islam semuanya patut sangat mempelajari kekuatan ajaib yang Allah janjikan untuk mereka ini.

No comments: