Abuya Pejuang Kasih Sayang

Dunia sudah kosong dari kasih sayang. Kasih sayang sudah hilang. Kehidupan berlangsung dalam keadaan tanpa kasih sayang. Orang sudah tidak mahu memperkatakan, tidak lagi memikirkannya dan membiarkan saja ia pergi tanpa apa-apa usaha untuk mempertahankannya. Sedangkan kasih sayang itu sebenarnya umpama ‘oksigen’ dalam kehidupan. Tanpa oksigen apa akan jadi pada kita?

Dalam perjuangannya, Abuya sangat mempraktikkan kasih sayang. Ada era kasih sayang yang dilancarkan oleh Abuya untuk beberapa tahun lamanya. Sebagai agenda yang begitu penting untuk direalisasikan dalam jemaahnya. Terkenallah perjuangannya dengan tema ‘Dakwah dan Kasih Sayang’.

Abuya sendiri memang orangnya begitu kasih dan sayang. Siapa duduk-duduk dengannya pasti merasakan kasih sayangnya itu yang tidak mudah dilupakan. Ramai orang yang jatuh cinta kepadanya kerana watak peribadinya yang inilah. Memang dia pakar dalam menawan hati orang dengan berbagaibagai cara kasih sayang yang dilayankan kepada manusia, menurut keperluan manusia itu.

Alhasil terciptalah sudah di muka bumi Tuhan ini sebuah sistem hidup, dibangunkan oleh jemaah Abuya yang di dalamnya sangat penuh dengan kasih sayang. Mastermindnya adalah Abuya. Dasar dan kaedahnya Abuya jugalah yang dapatkan. Hatta perlaksanaannya pun Abuya yang ajarkan kepada pejuang-pejuangnya. Maka jadilah Abuya tokoh pencetus perjuangan Islam secara kasih sayang yang julung-julung kali muncul di kurun ini.

Selepas peristiwa 11 September 2001 di WTC, New York, Barat amat memusuhi Islam. Kata-kata penghinaan yang dilemparkan ialah Islam agama keganasan dan Islam menganiaya kaum wanita. Maka pada tahun 2003, Abuya mengirim rombongan penasyid dari kalangan remaja perempuan yakni Mawaddah (yang bermaksud kasih sayang) untuk menyertai program seluruh umat Islam di Eropah yang dibuat di Le Bourget, Perancis. Untuk pertama kalinya Perancis menampilkan penasyid wanita di pentas. Perwakilan dari Malaysia itu membawa tema ‘Cintai Tuhan Cintai Sesama’.

Alhasil Mawaddah diterima menyebarkan sayapnya ke seluruh Eropah terutama England dan Jerman selain Perancis. Di setiap border antara negara itu Mawaddah dilayan keluar masuk dengan penuh kasih sayang. Memang Barat terkejut dengan pendekatan dakwah Abuya dan mereka akur Islam rupanya, kalau benar-benar diamalkan ajarannya, adalah agama yang membawa kasih sayang dan sangat menghargai wanita.

Hal ini turut membuatkan tercengang-cengangnya umat Islam di Timur Tengah yang berada di Eropah. Mereka berterima kasih kepada Malaysia kerana membawa satu trend baru dalam berjuang. Selama ini mereka tidak terfikir pun untuk pelbagaikan kaedah dakwah. Hanya bersyarah di majlis-majlis dan perempuan tidak dilibatkan untuk ikut berjuang. Sedangkan dari Abuya, dakwah itu dinasyidkan oleh wanitawanita sopan yang kelihatannya cukup menarik dan mempesonakan. Ramainya masyarakat yang berminat dan membeli album-album nasyid Islam, agama kasih sayang.

Di Thailand, di sekitar tahun 2000-2006, suasana di selatan sangatlah memalukan dan menakutkan. Bangkok sudah bun-tu kerana Amerika menganggap di negara Thailand terdapat Islam berbentuk keganasan itu. Hal itu cukup bahaya. Maka demi menjawab bahawa Thailand bersih, kerajaan Phuket mengundang Mawaddah untuk satu program negara bertajuk ‘Islam Kasih Sayang’. Wakil duta Amerika di Bangkok diundang hadir.

Selesai program, Mawaddah dan Rufaqa’ Thailand mendapat ucapan tahniah dari kedutaan Amerika di Bangkok. Dan semenjak itu orang-orang penting Abuya di Thailand selalu dilibatkan dalam program-program menyelesaikan masalah di selatan Thai.

Di Australia, Abuya berjaya meyakinkan John Howard, Perdana Menteri Australia bahawa Islam yang dibawanya tidak sama sekali ganas. Bahkan Islam itu sebenarnya adalah agama kasih sayang, kata Abuya. Alhasil dunia terkejut dengan perubahan John Howard pada tahun 2003 yang menyebut tentang adanya Islam kasih sayang, yakni sesudah menonton persembahan ‘Islam Kasih Sayang’ oleh Mawaddah di Australia.

Demikianlah contoh-contoh di antara ribuan contoh lain yang memperlihatkan betapa hebat dan ajaibnya Abuya dan perjuangan Islam yang diperjuangkannya. Manusia biasa tidak mungkin mampu berbuat demikian. Bahkan di kalangan pemimpin sama ada pemimpin negara mahupun pemimpin yang memperjuangkan Islam yang ada pada hari ini, cubalah kita tunjukkan siapa di antara mereka yang boleh berbuat seperti mana Abuya. Hal ini tentulah berkaitan dengan latar belakang pendidikan Abuya, yang telah membentuk beliau menjadi satu peribadi yang begitu agung dan ajaibnya.

Segala kesusahan dan keperitan hidup yang dialami sejak kecil; bermula dengan kematian ibunya ketika berumur 4 tahun menjadikan Abuya berhati abid, berhati singa dan berotak geliga. Hidupnya waktu kecil bagai anak yatim piatu bilamana ayahnya pula walaupun masih hidup tapi jarang sangat berjumpa dan tidak tinggal bersama-sama. Abuya sedari kecilnya dijaga oleh:
1 Bapa
2 Bapa saudara iaitu Lebai Ibrahim dan isterinya Wak Imai Pilin (selama 5 tahun)
3 Datuk tirinya, Mohd Jirim dan nenek tiri di Segambut (selama 2 tahun)
4 Ibu tiri (selama 4 tahun) di Kuala Klang

Sesudah berkahwin, ketika berumur 20 tahun Abuya menumpang hidup di rumah dua orang bapa angkat yang kedua-duanya tinggal di Sungai Nibong, Tanjung Karang, Selangor, selama antara dua ke lima tahun.

Waktu di Segambut, di setiap malam Jumaat, Abuya akan tidur di rumah emak saudara yang bernama Halimah di Kampung Kebun Sirih, iaitu rumah kakak kepada bapanya.

Hidup Abuya sepanjang zaman kanak-kanak dan remajanya hanyalah menumpang dengan orang-orang yang tidak dikenali sebelumnya. Dari tangan ke tangan Abuya meniti perjalanan awal hidupnya di dunia ini. Sebuah kehidupan yang berjalan dalam keadaan ruangan hatinya sering merindui kasih sayang dari ibu dan bapa sendiri, yang dilihat dan dirasainya berlaku kepada orang-orang lain. Kata Abuya, Allah takdirkan semua orang yang ditumpangnya hidup itu sayang kepadanya. Abuya dapat rasakan betul-betul kasih sayang itu. Demikianlah adilnya Allah melayani hidupnya.

Namun, Allah jugalah yang mentakdirkan, hatinya tidak mahu menagih kasih kerana malu. Dia merasakan orang-orang itu semuanya bukan ibu dan bapanya sendiri. Mereka orang lain. Jadi dia malu sangat untuk menerima kasih sayang mereka semua. Dalam erti kata lain, dia tidak pun bermanja, meminta-minta itu dan ini seperti yang dibuat oleh anak-anak lain kepada ibu bapa dan orang-orang yang menyayangi mereka. Macam ada gap yang besar yang menghalang Abuya dari memanjakan dirinya dengan orang yang sayang padanya itu. Itulah rasa malu.

Ketika Abuya melihat adiknya bermanja dan berkasih sayang dengan Wak Imai dengan penuh kegembiraan, Abuya teringin untuk merasakan suasana itu. Tapi hatinya berkata dia bukan ibu sebenar, jadi Abuya malu!

Hati sering teringin itu dan ini tapi dia pendamkan keinginan itu semuanya kerana malu. Hal itu membuatkan orang-orang yang menjaganya lebih simpati. Dia tidak meminta apa-apa pun kepada mereka. Dia rasa tidak berani dan tidak mahu memintanya. Itulah Abuya seperti yang diceritakannya sendiri.

Rupa-rupanya anak yatim umumnya, begitulah hati mereka. Watak hati yang sangat-sangat merindui kasih sayang. Dan merasakan betapa mahalnya kasih sayang itu di dalam kehidupan seseorang. Sepinya dunia bagi seseorang yang ketiadaan kasih sayang. Kosongnya hidup, tiada apa yang hendak dipertahankan dan padanya mati pun tidak mengapa.

Hikmahnya, bagi orang-orang Tuhan, kekosongan itu diisi sepenuhnya dengan Tuhan. Hidup bersama Tuhan, meminta dan bermanja hanya dengan Tuhan. Memang kebanyakan pemimpin yang Tuhan lantik sama ada di kalangan para nabi, rasul, Sahabat (Khulafaur Rasyidin), mujaddid dan wali-wali besar, mereka mempunyai sejarah hidup yang sangat susah dan yatim atau yatim piatu. Kerana cara itulah Allah masukkan ke dalam hati mereka rasa hamba dan rasa bertuhan yang sangat tinggi. Allah kosongkan hati mereka daripada dunia semuanya, lalu kekosongan itu diisi dengan cinta dan takutkan Tuhan.

Abuya menceritakan bagaimana proses-proses yang dilalui dalam hidupnya sedari kecil untuk menjadikan dia pemimpin kepada jemaah yang memperjuangkan Tuhan dan kasih sayang ini. Berlakulah beberapa tahap. Peristiwa-peristiwa yang dikira sebagai fakta-fakta penentu menjadikan dirinya begitu ajaib sekali, antaranya:

1. Peranan Lebai Ibrahim dalam hidup Abuya ialah mengajar ilmu tentang Islam, tarekat dan Imam Mahdi. Lebai Ibrahim itu orangnya tidak banyak bercakap. Jadi dengan Abuya, dia tidaklah mengajar secara direct, sementelahan Abuya ketika itu masih kanak-kanak. Namun, kata Abuya, beliau dapat ilmu dari Lebai Ibrahim kerana ikut mendengar waktu Lebai Ibrahim bercakap kepada majlis di surau. Kadang-kadang sampai tengah malam, membawa ke Subuh Abuya ikut mendengar perbualan Lebai Ibrahim dan jemaah surau. Hanya kerana malu, kerana Abuya masih kanak-kanak dan dia cuma seorang, Abuya buat-buat tidur, berselubung dengan kain pelekat. Walhal sebenarnya Abuya memang ikut mendengar semuanya. Abuya sangat minat, hinggakan untuk itu, sangat bersedia untuk tidak tidur malam.

Lebai Ibrahim seperti faham watak anak buahnya itu, sementelahan pula dia memang tahu yang Abuya adalah bakal Putera Bani Tamim, orang kanan kepada Imam Mahdi, maka kata Abuya, ke mana dia pergi, dia akan bawa Abuya. Dia berikan kasih sayang yang Abuya dapat rasakan betul. Cuma Abuya sahaja tidak menagihnya. Dia tidak pernah marah pada Abuya. Paling-paling tidak hanya menyindir saja agar Abuya perasan yang dirinya bersalah.

Lebai Ibrahim, kerana sangat menjaga Abuya, kalau dia ke mana-mana dia akan membawa Abuya bersama sekalipun untuk menjaga padinya agar jangan dimakan babi. Dibawanya Abuya tidur di bendang waktu malam. Tetapi kalau di kampung itu ada kenduri kahwin bersama ronggeng, Lebai Ibrahim akan hilang sendirian tanpa membawa Abuya. Bagi Abuya yang tidak tahu hal tapi ada hati untuk tengok kenduri kahwin, dia akan pergi seorang diri, meninjau-ninjau majlis dari jauh-jauh sahaja, di tempat gelap. Sekarang baru Abuya faham keadaan sebenarnya. Rupanya Lebai Ibrahim tidak mahu Abuya terlibat dengan majlis tersebut, jadi dia sanggup menghilangkan diri agar Abuya tidak berpeluang menghadiri kenduri itu. Demikianlah kasih sayang yang diberinya sangat berdisiplin dengan syariat Allah.

2. Bapa Abuya telah menyerahkan beliau kepada ibu bapa mentuanya seelok dipindahkan dari sekolah Pilin ke Segambut. Kedua-duanya merupakan datuk dan nenek tiri kepada Abuya. Rumahnya besar. Mereka tinggal bersama lima orang anak dan dua orang cucu yang semuanya perempuan. Ada juga seorang anak lelaki dan seorang menantu iaitu Ustaz Amin yang mengajar Abuya di sekolah agama, tinggal bersama di rumah itu. Tok Mohd Jirim itu ialah ketua kampung Segambut (Tok Empat). Orangnya cerdik, sangat rajin bercakap hal tinggitinggi tapi keadaan hidupnya sungguh miskin.

Saya tanya, apa perasaan Abuya, dipindahkan hanya untuk tinggal dengan keluarga yang begitu? Kata Abuya memang mulanya sedih sekali, rasa hendak balik ke Pilin. Namun selama dua tahun Abuya kena harungi hidup sebegitu.

Lagi sekali Allah takdirkan Tok Jirim sayangkan Abuya. Adilnya Allah. Kalaulah Abuya rasa dia tidak disayangi bahkan jadi pengganggu di situ, tentu akan sakitlah jiwa Abuya.

Tok Mohd Jirim akan bawa Abuya ke mana saja dia pergi. Mereka berkawan tapi tidak saling berbual sebab hanya Tok Mohd Jirim seorang saja yang bercakap. Gambarkan Tok Empat berkawan dengan remaja umur 13 tahun. Malam-malam kata Abuya, datuk tirinya itu akan ajak Abuya mendengar celotehnya. Kadang-kadang sampai pukul dua pagi. Penghuni lain semua sudah tidur, tapi mereka berdua bertemankan lampu minyak, ada program iaitu si datuk bercakap-cakap segala hal-hal yang tinggi-tinggi sementara si cucu hanya mendengar tanpa bertanya atau respond apa-apa. Abuya dengar sahaja dengan penuh minat. Membuatkan datuk itu tidak jemu-jemu bercakap, bercerita tentang macam-macam isu kemasyarakatan. Abuya sanggup dengar tanpa sepatah kata kerana wataknya waktu itu yang sangat pemalu dan sangat pendiam.

Macam berkursuslah Abuya sepanjang dua tahun di Segambut itu. Siang ke sekolah kebangsaan dan sekolah agama darjah 6 dan 7, malam kursus kemasyarakatan. Tok Mohd Jirim juga ada bagi assignment mencari kayu api dan pucuk paku serta pucuk ubi. Tiap-tiap hari kata Abuya, dia hanya makan nasi dengan gulai pucuk ubi dan sambal belacan atau berlauk ikan bilis kerana miskinnya. Aktiviti Abuya adalah mencari pucuk-pucuk ubi untuk digulai. Memang Abuya begitu cerdik dan rajin serta pemalu dan pendiam.

Adapun mengapa Tok Empat itu begitu berminat dengan Abuya, saya rasa agaknya kerana bapa Abuya sudah bercerita tentang Abuya kepada bapa mentuanya itu. Ini kerana mereka sangat rapat berkawan bukan macam anak menantu. Sebab itulah Abuya dilayan begitu istimewa yang mana kata Abuya, selesai Abuya mendengar celotehnya, dia pergi tidur, barulah Abuya pun tidur. Ajaib.

Oleh kerana Abuya sangat pemalu, maka dengan semua saudara-saudara perempuan dalam rumah itu Abuya tidak pernah bercakap. Siang sama-sama berbasikal ke sekolah tapi tidak bercakap. Makan pun tidak sama. Abuya makan berdua dengan datuknya saja. Pelik. Begitulah sebuah kehidupan pahit tapi bermakna untuk seorang pejuang besar zamannya.

Selama dua tahun di Segambut, setiap malam Jumaat Abuya akan pindah ke rumah ibu saudaranya, kakak kepada bapanya dan tidur di sana. Itu arahan bapanya. Di sana, Abuya baca Quran dan tahlil seperti diminta. Ibu saudara dan keluarganya akan mendengar.

Bila ditanya, adakah Abuya gembira di rumah tersebut bersama abang sepupu bernama Sahnan, seperti sebelumnya, kata Abuya dia tidak bercakap pun. Abuya memang sangat pendiam walhal dalam hati banyak yang ingin ditanya kepada ibu saudara itu perihal sejarah hidup bapanya yang merupakan adik bongsu kepada tiga bersaudara. Tapi malunya menghalang semua itu.

Kalau bapanya ada sejarah mati tiga kali waktu kanakkanak, maka seorang kakak kepada bapanya dicuri orang waktu masih bayi, ketika dalam buaian. Hilanglah bayi itu. Bila dia ditemui semula? Yakni waktu sudah ada anak cucu, di Singapura. Dengan itu ramailah kaum keluarga Abuya di Singapura. Tapi dalam hal beragama, nampaknya ayahnya yang lebih menonjol, sedangkan kakak-kakaknya hanya beragama tradisi seperti orang Melayu biasa. Hubungan dengan Abuya tidaklah serapat mana.

Namun ketika Abuya difitnah dalam surat khabar dengan segala cerita-cerita buruk tempoh hari, semua keluarganya termasuk masyarakat di Segambut yang sangat faham watak Abuya tidak boleh terima fitnah itu. Orang tahu wibawa bapa Abuya yang bila dia pencen, tinggal di Segambut, apabila hendak dilantik jadi Tok Empat, dia tidak mahu. Orang tidak percaya, keluarga yang begitu disegani dan disayangi berbuat seburuk yang digambarkan.

1 Biasanya ibu tiri tidak baik hubungannya dengan anak tiri. Begitulah selalunya yang kita faham. Tapi Abuya bertuah, mendapat ibu tiri yang sangat sayang padanya. Sayangnya kepada Abuya lebih daripada anak-anaknya sendiri. Kata anak Abuya, Syeikh Fakhrurrazi, sewaktu remaja dia dan adikberadiknya tidak tahu pun bahawa Nenek Bedah itu nenek tiri dan Haji Jirim itu moyang tiri kerana perhubungan yang begitu baik, penuh kasih sayang dan kemesraan sepertilah keluarga-keluarga bukan tiri lainnya. Sesudah dewasa barulah dia faham rupanya Nenek Bedah itu adalah nenek tiri. Inilah lagi satu keajaiban dalam hidup Abuya dan keluarganya. Kasih sayang benar-benar dapat dirasakan berlaku dalam hidup mereka.

2 Apabila Abuya dipindahkan mengajar di Sungai Nibong, bapanya menghantarnya ke rumah seorang kenalan yang alamatnya diberikan oleh Pak Mat Kelang (Syeikh Mohd Abdullah ibnu Khairillah as Suhaimi). Orang itu ialah imam di kampung itu, Kiyai Jalal yang beramal dengan wirid Muhammadiah dan sempat berjumpa dengan Sayidi Syeikh Suhaimi. Sangatlah gembiranya Abuya kerana dipertemukan dengan orang seistimewa itu. Kerana rapatnya hubungan mereka maka Abuya tinggal di rumahnya dan menjadikannya bapa angkat. Rumahnya di kawasan estet kelapa di Sungai Nibong.

3 Abuya juga dapat berkenalan dengan seorang lagi bapa angkat iaitu tok siak yang juga ahli wirid tapi bukan pengamal wirid Muhammadiah. Dengan Pak Karim ini,

Abuya lebih rapat, betul-betul macam anak dan bapa hingga Abuya ikut ke bendang dan membantu apa juga tugasnya. Abuya tanggung makan minum dan tinggal lebih lama di rumah Pak Karim yang tinggal di tengah bendang itu. Ertinya selama di Sungai Nibong, Abuya tidak ada rumah sendiri dan hanya menumpang tinggal di dua rumah orang yang baru ditemuinya. Abuya berulang-alik dari bendang ke kebun kelapa bersama anak isteri. Sebuah sejarah menyayat hati. Kasih sayang yang terpaksa dicari namun hati tetap sepi kerana semuanya bukan asli. Kasih sayang yang sejati sudah dibawa pergi oleh ibu yang sudah tiada lagi.

Gambarkanlah kalau Abuya tidak bertemu dengan orang-orang yang menyayanginya, nescaya hancurlah hidupnya. Kasih sayang dirasakan padanya terlalulah mahal, umpama oksigen dalam kehidupan.

Dengan rentetan peristiwa tadi, bolehlah kita lihat cara Tuhan mencipta orang-Nya untuk menjadi pemimpin yang memperjuangkan Tuhan dan kasih sayang kepada manusia. Dirinya dididik untuk mengambil dan menyimpan sebanyakbanyak maklumat sedari kecil sama ada di aspek duniawi mahupun ukhrawi. Dia tidak mengeluarkan, kerana tidak bercakap tapi sangat memproses untuk mengambil pendirian sama ada untuk akal atau roh. Setuju atau tidak adalah rahsianya. Akal menutup mulutnya dari membuka semua maklumat itu.

Apabila tiba masanya, kata Abuya, barulah dia berlatih bercakap, bersyarah demi menyampaikan cita-cita perjuangan yang sudah meluap-luap dalam dirinya.

Namun dalam sepanjang diamnya, dia dapatkan Tuhan untuk pengisian kekosongan yang dirasainya. Bacalah sajaksajak Abuya sekitar tahun 2000, semuanya adalah kisah cintanya dengan Tuhan. Dan kerana kasih sayang itu begitu didahagakannya, maka jadilah dia manusia paling sensitif dengan penderitaan orang lain. Sepertimana dirinya yang amat menginginkan, dapatlah dirasainya betapa orang lain itu juga amat mengharapkan kasih sayang. Alhasil, Abuya tercipta sebagai tokoh yang memperjuangkan Tuhan dan kasih sayang. Dialah bapa kasih sayang.

DIALOG

Penulis: Kenapa tubuhkan Jemaah Jubah Hijau Darul Arqam?

Abuya: Kerana Allah dan Rasul. Wajib bagi kami berjemaah. Jemaah itu rahmat. Berpecah itu azab kata Rasulullah.

Penulis: Tapi jemaah Abuya dikatakan sesat. Jemaah yang terkeluar dari masyarakat ‘main stream’. Jemaah yang tak sesuai dalam negara majmuk.

Abuya: Jemaah apa pun kalau baru memang wajib menghadapi semua andaian-andaian itu. Tapi kalau sudah besar, sudah diterima, semua tuduhan itu tidak ada maknanya lagi.

Penulis: Ada harapan membesarkan jemaah lagi?

Abuya: Orang yang putus harapan dengan Allah hukumnya dosa besar.

Penulis: Bolehkah masyarakat terima? Sedangkan usaha-usaha menentang apa yang Abuya buat oleh segelintir orang sangat serius nampaknya?

Abuya: Pengalaman sudah banyak memberitahu kita bahawa kebenaran itu akan melonjakkan popularitinya di atas penentangan yang dibuat kepadanya.

Penulis: Mengapa begitu?

Abuya: Sebab kebenaran itu bersifat rohiyah manakala penentangan dibuat dengan akal. Roh dengan akal umpama air dengan gula. Bila bertembung, gula akan hilang di dalam air. Air jadi tambah sedap. Gula kalau ia cerdik, ia tidak akan mengganggu air.

Penulis: Sebenarnya apa cita-cita Abuya?

Abuya: Sesungguhnya hidup matiku untuk Allah, Tuhan sekalian alam.
Penulis: Tapi nampaknya berbau politik?

Abuya: Memang Allah datangkan kita ke dunia untuk Islamkan dunia ini.

Penulis: Tapi orang tak boleh terima negara Islam macam yang Abuya mahu.

Abuya: Di dunia yang sudah tidak selamat ini, orang semuanya sedang amat rindukan keselamatan, kasih sayang, keadilan, kepedulian dan pertolongan. Itulah negara Islam yang saya maksudkan. Adakah orang takut keselamatan?

Penulis: Tapi Abuya bawa poligami. Itu menakutkan orang perempuan?

Abuya: Orang perempuan, bukan sahaja takut poligami. Dengan polis pun takut, dengan sakit pun takut, dengan peperiksaan pun takut. Tapi bila diberi faham sebaik-baiknya, setepat-tepatnya, semua ketakutan pun boleh hilang. Masakan Allah dan Rasul lakukan sesuatu itu sia-sia atau menganiaya. Bahkan sebenarnya Allah bermaksud seribu satu macam keindahan. Ada seribu satu keburukan. Di sebalik seribu satu macam ciptaan-ciptaan yang menyakitkan sebenarnya ada tersembunyi seribu satu macam kebaikan pula. Orang yang tahu, sebenarnya akan bersikap tidak menolak apa pun dari Tuhan. Kerana semua itu sebenarnya bermaksud baik kalau kita memahaminya.

Penulis: Abuya menawarkan hidup yang miskin sedangkan Abuya kaya.

Abuya: Saya kaya setelah saya miskinkan diri saya dan siapa pun yang sanggup jual beli dengan Tuhan dia akan perolehi keuntungan yang besar kemudiannya.

Penulis: Kenapa Abuya sakit teruk? Macam mana nak jadi pemimpin yang baik?

Abuya: Kalau saya tak sakit, ada yang bimbang kalau-kalau saya akan buat lagi. Maka Allah yang Maha Adil, buatkan saya sakit, namun jemaah saya tetap berkembang. Saya yakin sakit ini akan sembuh oleh kuasa Allah.

Penulis: Dalam jemaah Abuya pun banyak masalah.

Abuya: Sepohon pokok yang baik, ia tahu musim bila ia akan gugurkan daun-daunnya, bila berdaun semula, bila daun berputik lagi, bila dahan perlu dijatuhkan, ranting ditambah dan lain-lain. Jemaah itu benar atau tidak ditentukan juga oleh faktor kemampuannya mengemaskan diri dari masa ke semasa menurut kaedah yang tepat, masa yang sesuai, langkah yang baik dan orang yang betul-betul kena-mengena dengan persoalan.

Penulis: Jemaah Abuya banyak sangat ujian. Tapi banyak pula nikmat Allah?

Abuya: Memang sepanjang sejarah perjuangan kebenaran yang diperjuangkan oleh Allah dan rasul-rasul-Nya serta para mujaddidnya, ia penuh dengan ujian dan nikmat. Tidak nikmat saja dan tidak ujian saja. Duadua serentak supaya para pejuang sentiasa diimbangkan oleh rasa sabar dan rasa syukur. Ada ‘check and balance’ dalam jemaah Tuhan.

Penulis: Apa bukti sejelas-jelasnya yang jemaah Abuya ini betul-betul jemaah kebenaran dari Allah dan Rasul?

Abuya: Di setiap awal kurun hijrah, Allah dan Rasul memerintahkan umat Islam mencari mujaddid. Ada maksud Hadis yang menyebut: “Di setiap awal 100 tahun hijrah, Allah datangkan seorang pembawa agama (mujaddid).” Dan ada Hadis yang menyatakan, “Dia dapat menzahirkan kebenaran dan tidak dapat dihalang oleh penentang-penentangnya.”
Lihatlah tiga ciri mujaddid yang disebut oleh Allah dan Rasul.
1 Datang di awal kurun.
2 Dapat zahirkan cara hidup Islam dalam realiti.
3 Tidak dapat dirosakkan oleh penentang-penentang yakni perjuangannya dapat diteruskan walaupun penuh halangan.

Mulanya saya memang mencari pemimpin itu yang ciri-cirinya menepati kehendak Allah dan Rasul. Namun tidak saya temui. Maka saya berfikir untuk mencuba menjadi pemimpin itu. Berdasarkan apa yang telah dan sedang berlaku kepada saya dan jemaah saya, maka saya yakin inilah dia jemaah itu.

Penulis: Tapi Aurad Muhammadiah dan Imam Mahdi difatwakan sesat?

Abuya: Memang ada dua aliran fahaman yang saling sesatmenyesatkan satu sama di dunia umat Islam waktu ini. Kedua-dua mendakwa merekalah yang benar. Walhal kebenaran dari Allah dan Rasul itu, hanyalah satu dan cukup jelas. Jadi bagi menghadapi kemelut dunia yang sangat rosak dan kronik ini, sesiapa yang betul-betul benar, tentu Allah akan pimpin untuk dapatkan jalan kebenaran (siratalmustaqim) ini dengan selamat tanpa tergugat oleh halangan yang mengganggunya.

Penulis: Abuya ada memasukkan dalam perjuangan ini unsurunsur yang menimbulkan keraguan seperti hal-hal ghaib mengenai malaikat maut, air janggut, tawasul dan khadam.

Abuya: a. Malaikat maut
Sebenarnya Allah menyuruh kita berdoa kepada-Nya dalam apa masalah pun, sekalipun untuk meminta dipanjangkan umur untuk sesiapa yang kita harap agar janganlah dia mati dahulu. Kalaulah ada orang berdoa agar Izrail jangan cabut dahulu nyawa si polan bin si polan dan sekiranya Allah perkenankan, maka samalah seperti Allah izinkan seseorang yang sedang sakit itu memanggil doktor tolong sembuhkannya. Padahal kuasa menyembuhkan bukan di tangan doktor. Allah-lah yang merupakan kuasa mutlak untuk melakukan penyembuhan, menghidupkan atau mematikan. Tapi Allah itu meluaskan agama-Nya dengan mengizinkan hamba-hamba-Nya untuk berurusan dengan ‘pegawai-pegawai tadbir’-Nya dalam kerajaan Allah seperti malaikat-malaikat, nabi-nabi, roh-roh ghaib termasuklah makhluk-makhluk lahir. Namun itu semua adalah untuk urusan agama dan kerana Allah.

b. Air janggut
Dalam perubatan dan perawatan terutama masalahmasalah rohaniah, kejiwaan, sakit mental dan lain-lain yang bukan fizikal, para tabib atau doktor-doktor rohani ini akan menggunakan ayat-ayat Quran dan Hadis-Hadis Nabi. Air doa dengan mencampurkan apa-apa yang baik dari seorang mursyid yang dimintakan doanya itu juga dianggap ada berkat di sisi Allah dan Rasul. Bukan doanya sahaja, janggutnya pun boleh diterima Allah sebagai sumber doa dan berkat.
Sejarah Sayidina Khalid ibnu Walid membawa janggut Rasulullah ke setiap medan perang dan menang adalah bukti bahawa pada Rasulullah itu bukan doanya sahaja, tapi janggutnya pun boleh membuat Allah kabulkan hajat Khalid. Seorang mursyid pewaris Rasul boleh juga diperlakukan oleh murid-murid di zamannya sebagai batang tubuh Rasulullah. Kalau anda ragu dengan semua ini, cubalah istikharah, bertanya Allah dan Rasul akan jawapannya.

c. Tawasul
Mari kita jangan bergaduh tentang masalah ini, tapi kita manfaatkan krisis ini untuk membangunkan Islam. Siapa yang yakin tawasul itu dibenarkan oleh Allah dan Rasul, silakan bertawasul sampai terhasilnya Islam di tengah masyarakat Islam. Siapa yang tidak yakin dengan tawasul itu pun boleh, silakanlah berjuang dengannya hingga umat Islam menjadi cukup kuat dan berwibawa dengan pembangunan insaniah dan material yang cukup hebat. Mudahmudahan Allah memberi taufik kepada kita semua.

d. Khadam
Ilmu ini dianggap karut oleh sesetengah golongan umat Islam, tapi dengan izin Allah dan Rasul, jin memang ada pernah beriman dan berjuang dengan Rasulullah. Allah Maha Berkuasa mampu untuk ciptakan itu semua. Jin yang taat kepada pemimpin Islam memang boleh diberi arahan tertentu untuk bantu perjuangan. Ingatlah musuh-musuh Islam sanggup menggunakan sihir dengan segala bala tentera jin untuk menghancurkan Islam, maka tentulah dengan keadilan Allah, umat Islam boleh melakukannya secara yang halal dan dibenarkan agama.

Penulis: Apakah rahsia Abuya boleh membangunkan semula jemaah yang sudah hancur? Dari mana Abuya dapat duit banyak untuk membangunkannya?

Abuya: Allah dan Rasul sahaja yang tahu bagaimana agama-Nya dapat dikembalikan. Ertinya Allah dan Rasul yang memimpin dan menunjuk ajar untuk berstrategi terhadap musuh-musuh agar agama-Nya itu dapat menguasai suasana. Duit pun dari Allah juga. Jangan sangka Allah tidak ada duit bahkan yang Maha Kaya itu ialah Allah. Kenapa tidak manfaatkannya.

Penulis: Abuya yakin akan menang?

Abuya: Sebuah jemaah kalau benar dijanjikan oleh Allah dan Rasul, pemimpinnya memang dilantik sendiri oleh Allah dan Rasul bernama mujaddid, maka kemenangan untuknya. Bukan sahaja Allah janjikan di Akhirat dapat Syurga, tapi juga akan dapat kuasa di dunia, insya-Allah.

No comments: