Abuya Sebagai Pemimpin, Guru, Kawan, dan Ibu Ayah Manusia

Pemimpin yang sebenar, yang dididik sendiri oleh Tuhan, mestilah juga seorang guru. Pemimpin dalam Islam adalah penyelamat, maka tentulah dia juga mampu mengajar dan mendidik umat. Ulama yang takutkan Allah itu nescaya mampu jadi penyelamat kepada kaumnya mengikut bidang kemampuan yang Allah kehendaki. Ini kerana ulama itu ada dua kategori iaitu:

i. Ulama berwatak rasul
ii. Ulama berwatak nabi

Ini tidak termasuk ulama suk, mereka adalah perosak umat. Rakyat jadi jahat dalam pimpinan mereka. Para pemimpin dunia Islam kini hanya boleh memimpin tapi tidak boleh mengeluarkan ilmu dan didikan. Kalaupun ada penasihat-penasihat di kalangan ulama tapi sudah tidak mampu mendidik umat.

Lalu bilamana Abuya yang muncul dengan kebolehan memimpin, mengajar dan mendidik sekaligus tentulah sesuatu yang bukan kecil. Bahkan paling hebat, suatu kurniaan Allah yang terbesar kepada zaman. Di tangannya berlakulah dua pembangunan yang diidamkan, pembangunan Akhirat dan pembangunan dunia.

Jemaahnya yang dipamerkan kepada masyarakat memang lain dari yang lain. Walaupun masih kecil tapi kualitinya amat mencabar pembangunan oleh pemimpin-pemimpin yang hanya mampu membangun secara duniawi.

Indahnya pembangunan dunia yang diadun dengan pembangunan Akhirat oleh Abuya. Jemaah Abuya kini mempunyai hampir 700 rangkaian perniagaan. Itulah hasil pimpinan beliau. Manakala hasil yang dicapai di bidang ilmu dan didikan, Abuya kini mempunyai beribu-ribu buah sajak, kuliahkuliah dan buku-buku terbitan yang melimpah ke tengah masyarakat di dalam dan luar negara.

Siapa pun yang membaca buah fikiran Abuya, sekalipun bukan Islam, nescaya akan terpesona bahkan mengalirkan air mata keinsafan. Kebenaran yang Abuya zahirkan cukup indah, mampu menawan hati setiap insan. Kalau ada yang benci, hanyalah kerana tidak mampu melawan hasad dengki. Rasulullah SAW itu, kebenaran yang dibawanya, keselamatan yang ditawarkannya jauh lebih hebat, terserlah bersama mukjizat-mukjizat yang begitu besar, pun masih ada yang menolak dengan penuh hasad dengki. Maka tidak peliklah kalau hal itu pun berlaku kepada Abuya.

Bilamana kepimpinan Abuya dan pendidikannya kepada umat begitu menonjol, maka layaklah Abuya menjadi ayah umat Islam. Umpama seorang ayah dalam sebuah rumah tangga yang berjaya memimpin dan mendidik sekaligus, nescaya dia diberi anugerah bapa mithali.

Abuya dilahirkan dengan hati yang amat inginkan keselamatan manusia serta sangat bimbangkan kecelakaan yang menimpa manusia. Sebab itu beliau sanggup ambil apa pun risiko, sanggup berhabis-habisan masa, tenaga dan harta benda demi menjayakan cita-cita dan keinginannya itu.

Seorang ayah yang ingin melihat kejayaan anak dan takut kalau-kalau anaknya gagal akan sanggup buat apa sahaja untuk itu. Abuya sampai sekarang dalam kaya-rayanya, belum ada rumah peribadi, tiada kereta dan harta miliknya. Segalanya dikorbankan untuk perjuangannya demi menjadi ayah manusia. Anda carilah di manakah di bumi ini ada manusia seaneh Abuya.

Sebab itu tidak pelik, Abuya digilai oleh pengikutnya lebih daripada peminat gilakan artis atau bintang filem pujaan mereka. Sebab apa yang Abuya sumbangkan lebih besar daripada apa yang artis-artis atau bintang-bintang filem itu persembahkan. Abuya berikan Tuhan dan iman kepada manusia yang kedua-duanya amat menghiburkan dan menyelamatkan bukan sahaja untuk dunia tapi yang terpenting selamat dari api Neraka.

Dalam hal memberi iman kepada manusia, Abuya adalah di antara orang awal yang terbang ke negara Uzbek seelok dimerdekakan oleh Rusia. Di sana Abuya mencari di mana sahaja dan siapa juga untuk diajarkan syahadah semula. Abu-ya menziarahi tokoh-tokoh masyarakat untuk diajak kepada Tuhan, dan katanya semua itu adalah untuk menagih janji Hadis. Yang mana di akhir zaman, Islam di Khurasan akan bangun semula bersama Timur.

Mengutip-mengutip manusia di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, kemudian ke Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina sampailah Australia, New Zealand, Pulau Tasmania, seluruh Eropah, Amerika, seluruh Timur Tengah, Turki dan 3/4 dunia lainnya adalah kerja yang Abuya habiskan sepanjang umurnya. Tidak hairanlah kalau setiap orang yang menjadi pengikutnya memanggilnya Abuya (ayah). Abuya dianggap penyelamat hidup mereka. Kalau para Sahabat merasakan Rasulullah itu ibu ayah mereka, kerana kerja-kerja menyelamat yang Rasulullah buatkan untuk mereka, maka para pewaris nabi juga tentulah juga dirasakan begitu oleh kaumnya.

Satu lagi rekod yang cukup ganjil yang Abuya ciptakan ialah dalam misinya menjadi penyelamat, pendakwah yang berhikmah ialah bilamana beliau ditangkap polis untuk di-ISAkan. Kesempatan di lokap dan di dalam tahanan daerah, digunakan untuk berdakwah secara sikap dan lisan. Alhasil Abuya mendapat simpati yang bukan sedikit dari mereka.

Peribadi Abuya yang suka berkawan, suka menolong, merendah diri, bersikap dan bercakap kebenaran itu, membuatkan dia mendapat ramai kawan. Meskipun Abuya berwatak pemimpin, guru, ibu ayah dan ulama, namun Abuya juga sebenarnya berwatak seorang kawan kepada manusia. Pemimpin pada kebiasaannya, lebih-lebih lagi tok guru, memang tidak pandai berkawan, tetapi Abuya mampu merendah sayap untuk meraikan pengikut dan penyokongnya sebagai kawan. Abuya suka belanja mereka, jalan-jalan dan makan-makan sambil mengambil hati mereka.

Sebab itu Abuya bukan sahaja disegani tapi disayangi. Semua isteri, semua anak-anak, semua keluarga, semua pengikut, semua simpati sangat sayang pada Abuya. Sebab Abuya mampu meletakkan dirinya dengan sebaiknya di mana beliau berperanan.

Abuya juga amat serius dalam berjuang. Ertinya Abuya juga berwatak pejuang. Sejak berumur 20 tahun hinggalah kini hampir 70 tahun, beliau cukup gigih berjuang. Berjuang ertinya berperang untuk mewujudkan sistem. Keberanian Abuya seolah-olah memberitahu pemerintah, “Sistem politik, budaya, ekonomi, sosial, pendidikan, kekeluargaan, kesihatan dan lain-lain dalam negara adalah salah. Sebab itu semuanya saya pulaukan dan saya cetuskan sistem baru dalam jemaah saya. Moga-moga model ini dapat diterima pakai dalam negara.”

Sebab itulah Abuya pernah dipersalahkan kerana mewujudkan sistem di dalam sistem, mewujudkan negara di dalam negara. Pengaruhnya yang makin membesar dianggap bahaya lalu sistem itu dihancurkan.

Keberanian Abuya lagi yang dikira paling nekad ialah ketika masih dalam ISA lagi, dia tetap berjuang untuk hidupkan sistem itu lagi. Dia berjaya meyakinkan polis bahawa sistemnya itu tidak merbahaya. Lalu tercipta lagilah rekod ganjil paling ajaib bahawa Rufaqa’ hidupkan sistem hidup Islam dalam ISA yang jauh lebih berkualiti daripada apa yang dihancurkan sebelumnya.

Abuya berjuang bagaikan tidak tahu takut dan tidak tahu serik. Sekalipun susahnya bagaikan mengalih sebuah gunung, pasti diusahakannya. Kemahuan hatinya sekeras besi. Citacitanya pasti dibuktikan walau apa pun risiko. Sedangkan orangnya lemah lembut. Peribadi begini, atas nama Islam, sebenarnya bukanlah perkara biasa. Ia merupakan perkara yang sangat luar biasa. Ia paling ajaib sebenarnya. Di sisi Allah dan Rasul-Nya, dia diperkatakan sejak 1500 tahun dahulu.

Maksudnya: Pada suatu hari para Sahabat melihat air mata mengalir di pipi Rasulullah lalu bertanya, “Mengapa tuan menangis wahai Rasulullah?”
Rasulullah menjawab, “Aku rindukan Ikhwanku.” Terkejut para Sahabat dan berkata, “Bukankah kami Ikhwanmu?”
“Tidak,” kata Rasulullah. “Kamu Sahabat-Sahabatku manakala Ikhwan ialah umat Islam akhir zaman, yang datang sesudahku, yang tidak berjumpaku tapi beriman denganku.”

Peribadi ganjil Abuya itu sebenarnya keluar dari hatinya yang begitu cintakan Allah dan Rasul. Sesungguhnya Abuyalah yang berhati Ikhwan itu. Dan dia telah dapat lahirkan jemaah Ikhwan yang Rasulullah sebutkan ciri-ciri mereka itu, yakni mereka bagaikan adik-beradik seibu seayah. Mereka itu menjadi abid di malam hari dan jadi singa di siangnya.

Abuya kini sudah mempunyai 10 orang selain dirinya yang mempunyai ciri-ciri Ikhwan. Hanya Putera Bani Tamim yang mampu lahirkan Ikhwan untuk diserahkan kepada Imam Mahdi, kata Abuya. Bilangan Ikhwan semuanya 500 orang. Merekalah pemimpin, guru, ibu ayah, kawan, pejuang dan ulama yang akan menyelamatkan dunia bersama Imam Mahdi, dalam misi kebangkitan Islam kali kedua oleh Allah dan Rasul di akhir zaman.

No comments: