Penutup

Apa sesudah ISA? Bagaimana Allah dan Rasul melepaskan Abuya dari perangkap musuh? Dan kemudian benarkah perjuangan ini mampu mencipta daulah Islamiah? Bagaimana?

Berita Abuya dibebaskan oleh kerajaan Malaysia sesudah sepuluh tahun dibuang di dua daerah, sebenarnya boleh jadi berita besar kalau Abuya mahu. Tapi kerana Abuya menutup semua pintu-pintu pertemuan yang diburu wartawan waktu itu maka jadi kecil sahajalah peristiwa pembebasan itu. Namun hakikatnya ia tidak kecil kerana Abuya mencipta seribu satu keajaiban sejak hari pertama dalam ISA hinggalah ke hari akhirnya.

Seelok dibebaskan, sempatlah beberapa bulan, Abuya melakukan road show ke seluruh negara, bertemu anak-anak buah dan melawat projek-projek Rufaqa’. Sewaktu tsunami melanda Banda Aceh, Abuya sedang berada di Miri, Sarawak dalam misi bertemu pengikut di sana. Waktu itulah di Hotel City Park, Miri, Abuya dilanda ‘tsunami’ Tuhan, lantas terlantar sakit teruk, yang doktor istilahkan multistroke. Dua minggu hanya di katil sekalipun untuk buang air. Sembahyang hormat waktu sahaja waktu itu.

Hingga sekarang sakit itu nampaknya turun naik sahaja, tidak juga mahu sembuh. Ada juga Abuya keluar-keluar tapi dengan menggunakan wheelchair. Sewaktu buku ini ditulis, sakit Abuya sudah memakan masa satu tahun lamanya. Kata Abuya, kalau orang bertanya apa Abuya buat selepas ISA, jawapannya ialah Abuya masuk ISA Tuhan, maksudnya sakit. Kenapa sakit?

Bila musuh-musuh Abuya merujuk kepada doktor yang merawat, didapati sakit yang menimpa begitu serius, maka mereka jadi kurang bimbang dengan bahayanya Abuya pada mereka. Mencerca-cercalah mereka melihat Abuya sakit kerana dianggap itu bukti bahawa Abuya bukan orang Tuhan seperti yang selama ini disebut-sebut oleh pengikutnya.

Namun, sepertilah waktu ditahan ISA, perjuangan Abuya bukannya sakit seperti Abuya. Bahkan ia jadi tambah hebat!

Maka di waktu musuh makin yakin Abuya sudah tiada masa depan, sebaliknya pejuang-pejuang Abuya amat yakin Abuya akan dapat kemenangan.

Tun Ghafar meninggal dunia adalah kejadian besar kedua sesudah ISA yang menjadikan musuh makin tidak yakin dengan Abuya. Sebab Abuya pernah mengatakan bahawa Tun Ghafar akan naik jadi PM walaupun sehari, tapi ternyata ia tidak berlaku.

Namun bagi pengikut Abuya, hal meninggalnya Tun sebelum jadi PM tidak pun menggugat keyakinan mereka. Sebab kenaikan semula Tun nampaknya sudah disetujui oleh ramai orang, yang hendak gunakan Tun untuk tujuan-tujuan mereka. Satu Malaysia orang tunggu kenaikan Tun waktu itu. Buktinya di hari matinya, Tun diperlakukan bagaikan matinya seorang PM. Hinggakan ada pemerhati berkata, hari kematian Tun adalah hari terbuktinya kebenaran kata-kata Abuya, bahawa Tun layak jadi PM. Maka Tun hanya dapat merasakan bagai PM di hari kematiannya sahaja.

Demikianlah kuasa Allah yang benar-benar dapat dirasai oleh orang-orang Abuya. Sementelahan jemaah jadi makin popular di kalangan orang-orang atasan negara dan negerinegeri di Malaysia. Bahkan di luar negara pun pengaruh Abuya menjadi-jadi. Maka tidak hairanlah mengapa orang yang yakin semakin yakin akan kebenaran Abuya. Manakala yang tidak yakin, disebabkan Abuya sakit semakin tidak yakin. Maha Berkuasanya Allah, mampu mentakdirkan kejadian seajaib itu.

Tun Mahathir Mohamad, bekas PM Malaysia, sesudah Tun Ghafar Baba meninggal dunia telah buat gempar lagi sekali di Malaysia. Demokrasi tercabar sungguh dibuatnya kerana Tun Mahathir menggugat PM dan kerajaan yang sedang memerintah. Tidak pernah terjadi di Malaysia hal begini.

Demi menyatakan kerajaan yang menggantinya itu gagal, Tun sanggup untuk jadi perwakilan bahagian UMNO Kubang Pasu. Hinanya tapi mulianya. Hina kerana nasibnya jadi serendah itu, tapi mulianya kerana demi bangsa dan negara dia sanggup.

Kerajaan Pak Lah jadi kelam-kabut kerana itu. Simpati orang pada Tun Mahathir meningkat kerana kekalahan undian untuk jadi wakil Bahagian. Politik dilihat sungguh kotor. Kecewa dengan perjuangan yang kotor, para pencinta kebenaran amat berharap Malaysia tidak lagi diperintah oleh orang politik. Demokrasi kian berakhir.

Abuya dalam masa yang sama, hanya berada di bilik tidur, tidak ke mana-mana kerana sakit. Tapi di bilik itulah, dengan badan yang terlantar, beliau membuat sebesar-besar kerja yang orang sihat kalau digabung beramai-ramai pun tidak mampu melakukannya. Abuya buat kursus Ilmu Ikhwan kepada pengikutnya. Abuya bagi ‘power’ kepada setiap orang yang datang padanya. Dengan ‘power’ itu seseorang boleh mendapatkan pertolongan Allah dalam apa pun hajatnya. Kata Abuya, ‘power’ ini hendaklah digunakan untuk melakukan kebangkitan Islam kali kedua. Menggunakannya, insya-Allah, kita boleh dapat daulah Islamiah buat Malaysia.

Yang ajaibnya Abuya ini dengan ‘power’nya itu, dia menyusun jemaahnya semula dengan begitu cepat sekali. Ia mampu mengubah seseorang untuk jadi betul-betul orang baru. Isteriisteri berpoligami berubah dari keadaan bersenget-senget hati kepada saling bertolong bantu dan mendoakan.

Para pemimpin yang keras kepala dan keras hati diubahnya menjadi merendah diri dan penuh ketakutan, iaitu takutkan Tuhan. Remaja-remaja lasak yang gelagat mereka begitu mencurigakan dan membimbangkan telah berubah menjadi remaja jinak yang cinta kebenaran dan meyakinkan. ‘Power’ Abuya juga telah mengklasifikasikan manusia mengikut dosa dan kesalahan lalu dihukum dan diproses baikpulihkan hingga orang baru ini Abuya panggil Ikhwan atau Asoib.

Jemaah sedang diprogramkan dengan ‘power’ ini supaya kaum bapa benar-benar menguasai perjuangan yang sebelumnya dipercayakan kepada kaum ibu.

‘Power’ juga boleh jadi modal untuk dapatkan kewangan demi membangunkan empayar ekonomi Rufaqa’.

‘Power’ Abuya ialah kekuatan bantuan Allah kepada sese-orang yang melakukan kerja-kerja perjuangan Islam dengan syarat seseorang itu berdoa dengan bertawasul kepada Abuya.

Siapa yang cukup kuat keyakinannya, besarlah ‘power’ yang diberikan dan besarlah hasil yang diperolehinya. Paling besar ialah seseorang mampu membakar semua mazmumahnya. Lalu hatinya dapat Tuhan setiap masa, tidak mampu melupakan-Nya walau di mana.

‘Power’ Abuya adalah barang paling ajaib di zaman ini. Rugilah sesiapa yang tidak mampu memperolehinya.

Kalau pada Barat Allah beri sains teknologi yang begitu mempesonakan, maka Allah bagi karamah kepada umat Islam atas nama ‘power’ Abuya yang sangat menakjubkan. Barat kuat dengan akal, umat Islam kuat dengan roh. Kekuatan roh sebenarnya jauh lebih kuat dari kekuatan akal.

Kata Abuya, bilamana ada 10 orang yang hatinya atau rohnya cukup kuat dengan Allah, nanti Allah akan tukar Malaysia jadi daulah Islamiah.

Hal ini bukan lagi mustahil. Hati orang sudah tidak yakin dengan politik. Orang tidak mahu lagi pemimpin yang naik dari politik. Jadi sistem pun akan ikut berubah dan Allah akan takdirkan seseorang dinaikkan tanpa melalui politik di Malaysia.

Mari kita lihat contoh satu kawasan pilihan raya yang waktu ini sedang diperhatikan dunia iaitu Kubang Pasu. Di sinilah Tun Mahathir Mohamad membina nadi perjuangannya selama 30 tahun.

Tapi di sinilah juga Mahathir terhina kerana dikalahkan oleh anak didiknya sendiri. Di Kubang Pasu, Abuya membangunkan orang Melayu menguasai pendidikan Islam dan ekonomi. Sesuatu yang UMNO telah gagal. Nama dan pengaruh Abuya sedang cukup besar di sini bahkan di Kedah seluruhnya. Siapa terfikir bahawa dengan caranya Abuya menguasai suasana di waktu orang kian hilang kepercayaan dengan UMNO.

Keadaan politik di Malaysia semakin meruncing dengan masalah-masalah dalaman parti, perpaduan antara kaum, kenaikan harga barang dan lain-lain yang tidak pernah selesai-selesai. Belum lagi maslaah gejala sosial yang semakin menjadi-jadi.

Berada dalam kemelut ini, kita mesti bersedia melihat satu letupan rohaniah yang dahsyat yang bakal merubah cuaca politik Malaysia kepada sesuatu yang benar-benar baru. Insya-Allah.

Ya Allah, selesailah sudah menceritakan perihal seorang hamba-Mu, yang kerananya orang kenal Engkau, Tuhan. Hanya seorang dalam satu zaman. Umpama rasul-Mu yang Kau datangkan setiap 300 tahun atau 700 tahun seorang. Datang semata-mata untuk memberi Tuhan kepada manusia. Tapi Abuya bukan rasul. Dia ialah mujaddid akhir zaman. Gelarannya Al Fata At Tamimi.

Dia paling ajaib yang Kau ciptakan. Tiada yang lebih menghairankan selain dia. Makhluk yang mempunyai keupayaan menjadi malaikat sedangkan dia adalah manusia.

Dia pasti menang. Orang Tuhan amat diperlukan oleh manusia dan dunia. Manusia wajib mencarinya dan berbaiah dengannya.

Perjalanan hidupnya patut diambil untuk rujukan. Cakapnya adalah panduan, bersamanya adalah hidayah dan menentangnya adalah kehinaan.

Dia ada di Malaysia, negara yang akan memulakan kebangkitan kali kedua. Jadual Allah pasti berlaku. Banyak buku-buku sudah ditulis oleh Barat tentang akan berlakunya kerana mereka mengambil berita itu dari Hadis-Hadis Rasulullah sendiri. Halangan seribu satu macam sudah dicubakan. Tapi mana mungkin Jadual Tuhan boleh digagalkan?
Moga moga manusia sedunia akan diselamatkan oleh ketibaan ‘Penyelamat’ ini kepada mereka.

No comments: